
Analisis Statistik Kesahan dan Kebolehpercayaan Ujian Pencapaian Reka Bentuk Elektrik
Author(s) -
Zaharah Che Isa,
Nurulwahida Azid
Publication year - 2021
Publication title -
malaysian journal of social sciences and humanities
Language(s) - English
Resource type - Journals
ISSN - 2504-8562
DOI - 10.47405/mjssh.v6i8.904
Subject(s) - physics , humanities , philosophy
Kajian ini bertujuan membina instrumen ujian pencapaian topik reka bentuk elektrik mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi tingkatan dua, membuat penilaian dan mengesahkannya serta menjadikannya sah dan boleh dipercayai. Instrumen ini mengandungi 20 item iaitu 10 item aneka pilihan (Bahagian A) dan 10 item subjektif (Bahagian B). Proses kajian melibatkan empat fasa iaitu i) pembinaan instrumen; ii) analisis kesahan pakar; iii) analisis kualitatif berdasarkan cadangan pakar; dan iv) analisis kebolehpercayaan. Proses pembinaan instrumen bersumberkan kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) tingkatan 2 dan domain kognitif Taksonomi Bloom. Analisis kesahan pakar instrumen melibatkan 10 pakar yang terdiri daripada guru cemerlang RBT, pegawai SISC+ Teknik dan Vokasional, Pegawai Teknik dan Vokasional dan pensyarah bidang kurikulum Teknik dan Vokasional UTHM. Manakala bagi analisis kebolehpercayaan pula, kajian telah dilaksanakan kepada 70 pelajar tingkatan dua yang telah mempunyai pengetahuan kognitif topik reka bentuk elektrik. Hasil kajian mendapati bahawa min keseluruhan instrumen ialah 7.85 dengan nilai minimum 7.10 dan maksimum 8.40. Dapatan analisis kesahan instrumen kebolehpercayaan antara penilai melalui pekali korelasi intrakelas (ICC) pula mendapati, nilai indeks kebolehpercayaan ialah .810 berdasarkan 95% sela keyakinan antara .584 ke .944 (F (9,171)=5.261, p< .000). Selain itu, data kualitatif melalui ulasan pakar juga menunjukkan bahawa instrumen ujian adalah baik dan mematuhi standard pembinaan ujian pencapaian. Hasil analisis kebolehpercayaan instrumen terhadap 70 pelajar tingkatan dua juga memperoleh nilai kebolehpercayaan cronbach alpha yang memuaskan iaitu .700 untuk bahagian A dan .760 bagi Bahagian B. Justeru, kajian ini membuktikan bahawa, pembinaan instrumen telah dilaksanakan secara sistematik dan mengikut standard yang ditetapkan, memperoleh nilai kesahan dan kebolehpercayaan yang memuaskan serta sah untuk digunakan dalam mana-mana kajian yang melibatkan ujian terhadap pencapaian topik reka bentuk elektrik tingkatan dua.