
Kajian Keberkesanan Penggunaan Buku Bergambar dalam Kemahiran Menulis Bahasa Cina Tahun Dua
Author(s) -
Chooi Wei Chai,
Miew Hoon Ng
Publication year - 2020
Publication title -
malaysian journal of social sciences and humanities
Language(s) - English
Resource type - Journals
ISSN - 2504-8562
DOI - 10.47405/mjssh.v5i4.385
Subject(s) - humanities , art
Kajian ini bertujuan untuk membanding antara pengajaran dengan buku bergambar dalam penulisan ayat dan pengajaran tradisional yang menggunakan kosa kata, dengan melihat perbezaan kaedah penggunaan buku bergambar dan pengajaran tradisional terhadap skor pencapaian penulisan ayat Bahasa Cina murid tahun dua. Kajian ini juga mengenal pasti tahap minat murid terhadap pengajaran yang berpandukan buku bergambar. Kajian berbentuk kuasi-eksperimental ini dilaksanakan dalam 8 minggu di dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Seramai 44 orang responden terlibat dalam kajian ini. Mereka terdiri daripada 21 orang responden sebagai kumpulan rawatan dan 23 orang responden sebagai kumpulan kawalan. Data kajian dikutip melalui ujian pra, ujian pasca dan soal selidik bagi mengesan skor pencapaian penulisan ayat dan tahap minat murid. Hasil kajian menunjukkan (i) kesan kaedah buku bergambar terhadap skor pencapaian penulisan ayat murid adalah positif, iaitu terdapat perbezaan yang signifikan di antara min skor ujian pasca berbanding min skor ujian pra, dan (ii) tahap minat murid terhadap pembelajaran buku bergambar adalah positif. Kesimpulan kajian membuktikan penggunaan buku bergambar dalam pengajaran dan pembelajaran telah mempertingkatkan skor pencapaian penulisan ayat Bahasa Cina dan minat murid tahun dua. Implikasi kajian menunjukkan penggunaan buku bergambar dalam pengajaran dan pembelajaran dapat mempertingkatkan kesan penulisan ayat Bahasa Cina.