
Penguasaan kemahiran membaca Bahasa Melayu murid bukan penutur jati di Bintulu, Sarawak
Author(s) -
Sylvester Lau Yueh Wei,
Alizah Lambri,
Rosliah Kiting
Publication year - 2020
Publication title -
educatum : journal of social sciences/educatum journal of social sciences
Language(s) - Italian
Resource type - Journals
eISSN - 2462-2443
pISSN - 2289-9391
DOI - 10.37134/ejoss.vol6.1.4.2020
Subject(s) - humanities , psychology , physics , art
Kemahiran membaca merupakan kemahiran asas Bahasa Melayu yang perlu dikuasai oleh setiap murid di Malaysia. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti penguasaan kemahiran membaca Bahasa Melayu murid bukan penutur jati di Bintulu, Sarawak dengan memberikan fokus terhadap asas pembacaan Bahasa Melayu murid bukan penutur jati, tahap kefahaman membaca murid bukan penutur jati terhadap teks naratif dan strategi pengajaran yang dapat membantu murid bukan penutur jati untuk meningkatkan kemahiran membaca dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Responden kajian terdiri daripada 10 orang murid bukan penutur jati di salah sebuah sekolah menengah luar bandar yang terletak di Bintulu, Sarawak. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif menerusi kaedah kajian kes. Pengutipan data menerusi kajian lapangan dengan menggunakan teknik temu bual dan teknik pemerhatian digunakan untuk proses mengutip data. Dapatan kajian menunjukkan terdapat masalah dalam diri murid bukan penutur jati ini untuk menguasai kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu, misalnya salah membunyikan huruf-huruf tertentu, tidak memahami petikan naratif yang diberikan dan tidak mengetahui kepentingan kemahiran membaca Bahasa Melayu. Tujuh daripada sepuluh responden kurang menguasai asas bacaan dengan baik manakala dua daripada sepuluh responden tidak memahami petikan naratif yang diberikan. Selain itu, tiga daripada sepuluh responden menunjukkan mereka tidak pasti tentang kepentingan kemahiran membaca terhadap diri mereka. Pendekatan pengajaran berpusatkan murid merupakan satu kaedah yang dilihat dapat membantu meningkatkan potensi murid-murid bukan penutur jati yang mengalami masalah dalam kemahiran membaca. Implikasi kajian menunjukkan bahawa guru bukan sahaja perlu mengajar murid agar mereka dapat menguasai teknik menjawab soalan peperiksaan dengan baik malah perlu mengajar murid berkaitan dengan kefahaman bacaan supaya mereka dapat memahami teks yang dibaca.